Aku,
Ayun dan Maya. Kami bertiga sudah seperti adik-beradik. Sama-sama hidup
berjauhan daripada keluarga membuatkan kami lebih menghargai keluarga kecil
yang berada di hadapan kami. Sama-sama saat susah dan senang biarpun kami
berlainan watak.
“Mira.” Maya memanggil.
“Hmm?” Sambil lewa sahaja aku jawab.
Mata langsung tidak berganjak dari muka surat novel yang aku baca. Seronok baca
novel sambil meniarap atas katil. Lebih-lebih lagi bila semua pensyarah belum
melancarkan misi score A dengan tugasan-tugasan harian dan mingguan.
“Kau baca apa tu?”
“Novel,” balas aku tanpa melihat Maya
yang berada di tingkat atas katil Ayun.
“Aku bosanlah,” kata Maya.
“Dah tu nak buat apa?” soalku. Masih
lagi tidak mengangkat wajah.
Maya tidak membalas. Suasana senyap seketika.
Hanya tinggal kami berdua dalam bilik. Novel yang sudah separuh buku itu aku
tutup selepas ditanda. Katil Ayun aku pandang. Beralih pula pada meja belajar
Ayun. Gadis itu tiada ditempatnya.
“Mana Ayun?”
Maya angkat bahu, “tak tahu. Dari tadi
tak balik-balik.”
Tolakan pintu dari luar mengejutkan aku
dan Maya. Seperti diseru, wajah Ayun tersembul dimuka pintu. Sungguh tak sopan
anak dara tu. Tak ada salam nak masuk bilik. Aci redah sahaja.
“Terkejut aku!” marah aku kepada Ayun.
Gadis itu hanya tersengih dan menjatuhkan punggungnya di atas lantai yang
dilapisi tikar getah.
“Woi, Ayun!” Suara nyaring Alun
memecahkan suasana sepi di dalam bilik kami. Alun bertubuh kecil, tinggi dan
ayu. Cukup lengkap untuk pakej wanita idaman. Hanya sahaja perangai
gila-gilanya yang sudah berjaya disebarkan kepada kami bertiga. Bagaimana aku
boleh tahu? Aku kenal Alun sewaktu kursus Persada anak Felda di UPM Serdang. Umur
dia beza satu tahun daripada kami bertiga. Kami bertiga lepasan matrikulasi
manakala Alun lepasan STPM. Tapi aku segan sendiri nak panggil dia kakak.
“Woi, kau dah habiskan stok biskut
aku.... kau blah macam tu je,” kata Alun sambil menepuk bahu Ayun.
“Dah biskut kau tinggal sikit. Aku
habiskanlah.” Selamba sahaja Ayun berkata.
“Kau makan kat bilik dia, Yun? Apesal
tak ajak? Sampai hati,” kata aku menyampuk.
Ayun dan Alun dah macam adik beradik
sebenar dah. Rupa pun lebih kurang. Sesuailah sangat Ayun panggil Alun kakak.
“Entah tu. Kitorang dah kebulur dah.”
Maya pula menyampuk. Kami berdua pandang Ayun macam nak gaduh.
“Ala... nanti petang kita cari makanan
eh?”
“Kat mana?” aku menyoal.
Kolej Gemia kami tiada kafeteria seperti
kolej-kolej lain. Kafeteria itu ada hanya sahaja kafe itu tidak berfungsi
seperti yang diharapkan. Jadi jika hendak membeli makanan kami harus menjelajah
ke kafeteria yang terdekat. Itupun jika kafe buka.
Hujung minggu hari yang mencabar buat
kami. Kafeteria yang terdekat tutup. Maka kami perlu berjalan selama 30 minit
jika berjalan lenggang-kangkung untuk sampai ke satu-satunya kafe yang berada
di kawasan pantai. Mujur sahaja ada basikal. Jimatlah masa.
“Pergi kapas nak? Beli masakan panas,”
“Aku kirim,” laju Alun berkata.
Aku memandang Alun yang masih duduk di
lantai. Jelingan tajam mula dilancarkan kepada gadis kelahiran Jengka itu. Laju
mulut aku berkata, “ah, tak ada tak ada. Kau kena ikut sekali. Tak ada
kirim-kirim.”
“Ish, dia ni kan....” Alun memprotes
tidak puas hati dengan aku. Alun memang menjadi kawan gaduh aku sejak menjadi
geng kami bertiga. Sudah macam anjing dan kucing bila aku dan Alun bila
berjumpa. Tetapi kami hanya gaduh-gaduh sayang. Orang sahaja salah sangka.
Perwatakan aku bila di laur automatik sopan mengalahkan perempuan melayu
terakhir. Hanya mereka yang kenal aku tahu bagaimana perwatakan aku. Diam-diam
mulut macam tiada insuran.
“EH, mana basikal aku?” Maya menyoal. Hairan apabila
basikal yang selama ini diguna-pakai untuk ke kelas setiap hari tiada di
tempatnya.
“Kau
letak mana haritu?” Ayun menyoal. Kami berempat mendekati Maya yang masih
termenung memerhatikan tempat kosong di sekitarnya.
“Mana
tahu kau salah letak ke? Basikal semua serupa je,” kata Alun pula. Hampir semua
basikal yang diletakkan di kawasan parking ini sama bentuk dan warna. Hanya
basikal aku sahaja lain kerana aku beli basikal sendiri sewaktu hari pendaftaran
di bandar.
“Tak...
memang aku letak sini. Aku dah kunci haritu. Entah hantu manalah yang pakai tak
ada kebenaran. Suka hati je,” kata Maya dengan geram. Tangan sudah diletakkan
dipinggang. Begitu juga dengan Ayun dan Alun. Aku pula memeluk tubuh.
“Basikal
kau ada nama kan? Apa kata kita check satu-satu basikal kat sini.”
Tiga
pasang mata memandang aku lepas aku habiskan cakap. Sebelah kening diangkat
walaupun jauh dari mampu untuk mengalahkan kening Ziana Zain. “Tengok je,” kata
aku.
“Yelah,
yelah. Usaha,” Ayun menyahut. Dengan paksa rela dia menurut. Setiap seorang
ambil satu bahagian. Aku dan Maya di garaj manakala Ayun dan Alun di kawasan
sekitar.
“Tak
ada pun Maya. Agaknya memang ada orang gunalah basikal kau,” kata aku selepas
melihat setiap satu basikal yang berwarna merah yang berada di bawah garaj.
“Maya,
basikal kau ada kat sini!” suara nyaring Alun menerjah gegendang telinga aku
dan Maya. Alun dan Ayun berada tidak jauh daripada kami berdua. Mereka berada
di parking yang tidak berbumbung. Aku dan Maya bergegas menuju ke tempat Ayun
dan Alun.
“Basikal
kau kan?” Ayun menyoal.
Maya
tidak menjawab. Gadis untuk menilik dahulu basikal yang disangkakan miliknya.
Spot check dulu. Ada tempat rahsia yang diletakkan nama Maya pada basikal itu.
“Betullah,
basikal aku. Terima kasih Ayun!”
Wajah
Maya yang tadinya mendung serta-merta kembali ceria. Aku, Ayun dan Alun tersengih sahaja melihat
Maya. “Okey, jom kita beli makanan.”
“KAU nak makan apa Mira?” Maya menyoal aku yang
sedang khusyuk lihat menu di kaunter. Semakin lama aku tengok semakin susah aku
nak pilih menu. Hipotesis sangat!
Wajah
Maya yang sedang serius menunggu aku pilih makanan kelihatan seram. Sabar
sahaja dia menunggu aku memilih ikut selera tekak aku. Melihat wajah serius
Maya membuatkan aku tersenyum lebar tanpa rasa bersalah. “Aku tak tahulah Maya,”
kata aku dengan selamba. Punyalah lama berdiri untuk tulis menu sahaja. Ayun
dan Alun yang sehati sejiwa sudah selamat menempah makanan.
“Hish,
lama-lama tenung benda tu rupanya dia tak tahu nak makan apa,” sela Alun yang
masih berdiri di kaunter menunggu makanan siap. Kesian kerusi meja di dewan
makan ni tak berguna, terasa tidak diperlukan lagi khidmatnya.
“Maya
kau orderkan dia mi hong kong je. Biar padan muka dia,” kata Alun lagi.
“Bolehlah
Maya. Kau tuliskan mi hong kong je,” balas aku, dah malas nak tengok menu.
Maya
menulis sesuatu di atas kertas kecil sebelum diserahkan kepada tukang ambil
menu yang baru keluar dari dapur selepas Maya menekan loceng.
“Esok
pagi nak makan apa?”
“Esok
kan ada kelas. Makan sebelum masuk kelaslah,” ujar Ayun.
“Malas
aku pergi ‘star bucks’ tu. Dah lah ramai,” aku merungut. Selama jejakkan kaki ke
alam kampus ni hanya sekali dua sahaja aku membeli di kedai kecil yang berada
di bangunan kelas kami. Bukan menyombong tidak mahu membeli hanya sahaja tempat
itu selalu sahaja penuh. Tidak kira pagi atau tengah hari. Aku hanya singgah di
kedai itu untuk membeli air waktu petang sebelum ke aktiviti kokurikulum.
“Tak
apalah aku nak beli roti. Malam-malam nanti boleh makan,” kata aku. Kemudian
aku bangkit dan menuju ke rak roti. Maya juga mengikut aku tetapi menuju ke
tempat lain iaitu rak kerepek.
“Kau
beli apa Maya?”
“Kerepek.
Buat kudapan malam-malam.” Maya dengan aku memang sekepala kalau bab makanan.
Kami berdua akan sentiasa berkongsi apa-apa sahaja kecuali pakaian.