‘SELAMAT DATANG KE TERENGGANU.’ Aku membaca ucapan
selamat datang yang tertera pada pintu gerbang negeri Terengganu. Pertama kali
menjejakkan kaki ke negeri yang terkenal dengan keropok losong ini demi
menuntut ilmu. Dari Johor ke Terengganu, satu perjalanan yang panjang dan
melelahkan. Bertemankan mak dan saudaraku seramai tiga orang. Kami menginap di
Kuantan dan meneruskan perjalanan ke Dungun awal pagi tadi. Aku masih memandang
ke luar tingkap. Jauh memikirkan kehidupan yang pertama kali berada jauh di
negeri orang dalam pada usia 19 tahun.
“Aiyokkk Mira. Lepas ni kau kena
tinggallah.” Juli anak kepada kakak sepupuku mengusik. Selalu sepanjang
perjalanan kami dia mengucapkan perkara yang sama. Juli dahulu bekas pelajar
perhotelan universiti yang dituju, UiTM Terengganu. Aku hanya membisu. Tiada
hati untuk membalas usikannya seperti yang selalu aku lakukan. Mataku kembali
fokus pada novel yang dibawa. Satu-satunya hiburan yang dia ada walaupun
mindaku jauh menyimpang dari apa yang dibaca.
Setelah menempuh perjalanan selama dua jam akhirnya kami tiba ke destinasi yang dituju. Pendaftaran pelajar baru ijazah sarjana muda berlangsung di kolej Gemia. Kolej yang berada paling belakang dari pintu utama kampus resort ini.
Usai
sesi pendaftaran aku bergerak untuk masuk ke bilik yang berada di Gemia 2 aras
3. Menjadi orang pertama yang masuk ke bilik semestinya aku mempunyai kelebihan
memilih katil, almari dan meja untuk keselesaan sendiri.
“Mira
baik kau letak beg kau atas katil. Kejap lagi ada orang masuk, tempat kau kena
ambil baru tahu,” kata Juli. Walaupun aku berpangkat mak cik kepada Juli boleh
dikatakan setiap urusan di sini Juli yang uruskan. Maklumlah Juli itu senior!
Junior kena dengar kata senior.
Segala
urusan telah selesai, dari pendaftaran sehinggalah urusan pembelian basikal. Akulah
pelajar baru yang menjadi orang pertama yang membeli basikal baru walaupun
selama sesi orientasi basikal baru ini akan tersadai di bawah garaj.
Usai
segala urusan, aku berehat di bilik. Keluarga aku juga sudah pulang ke Johor.
Masa inilah aku mula mengenali Ayun yang juga datang dari Johor. Cuma kami
berlainan daerah. Dia dia Segamat. Manakala aku di Kota Tinggi. Satu persamaan
kami, kami berdua sama-sama menuntut di Kolej Matrikulasi Johor.
“Miera,
kau tahu tak nama aku?”
Terkejut aku dengan soalan dia yang
tiba-tiba. Macam tu dia soal aku? Macam mana dia boleh tahu nama aku? Dengan
mata dia yang langsung tak pandang aku. Dia sedang sibuk mengemas barang-barang
dia yang lebih banyak daripada aku.
Apabila aku tidak membuka mulut untuk
menjawab persoalan dia, Ayun langsung mengangkat muka. Tersengih-sengih dia
pandang aku yang terkaku macam lidah aku sudah kena hempap dengan batu.
“Tahu tak?” Ayun menyoal lagi.
Automatik aku menggeleng macam kena
pukau pun ada aku ni.
“Nama aku Ayun. Khairun Syafiqah. Asal aku
dari Segamat Johor.” Katanya panjang lebar perkenalkan diri.
‘Nama aku Miera. Zamira Zahid. Berasal
dari Kota Tinggi.’ Aku membalas dalam hati. Nama aku pun dia dah tahu buat apa
nak kenalkan nama aku kuat-kuat kan? Suasana kembali membisu. Aku dengan hal
aku dan Ayun dengan hal dia. Macam musuh pula kan?
Aku duduk di tempatku. Mengemas segala
barang makanan yang ada di atas meja belajar. Selesai mengemas aku main game di
handphone. Skrin masih lagi hitam putih. Itu sahaja gadget yang aku bawa ketika
ini. Cukuplah sekadar untuk mesej, buat panggilan dan mendengar radio.
Aku pusing belakang kerana sudah tidak
mendengar suara bising Ayun mengemas. Bilik kecil yang menempatkan sebuah katil double-decker dan katil bujang, tiga
buah almari kayu serta tiga buah meja belajar terasa sunyi. Mataku tidak
menangkap tubuh teman sebilikku. Entah kemana dia menghilang? Aku sendiri tidak
tahu.
Perlahan-lahan aku melangkah
meninggalkan meja belajar untuk menjengah katil Ayun Manalah tahu dia keluar
dengan keluarga dia sementara Minggu Destini Siswa belum bermula. Dalam diam
aku perhatikan juga katil Ayun. Di katilnya sudah tergantung elok tuala mandi
dan tudung-tudung dia yang super banyak tu. Lama aku perhatikan ada macam-macam
warna yang ada. Sehinggalah aku yang bermata empat menangkap susuk tubuh yang
sedang terbaring atas katil dengan baju kurung yang tidak bertukar. Nyenyak
betul Ayun tidur. Aku pula yang jealous! Nak juga tidur macam dia.
Baca novel sambil berbaring memang sudah
jadi tabiat aku. Konon nak tidur tapi tak boleh. Payah betul aku nak lelapkan
mata siang-siang macam ni. Jam tangan murah yang terikat pada pergelangan
tangan aku kerling. Baru jam tiga setengah petang. Lambat lagi untuk orientasi.
Novel aku tutup dan letakkan di tepi
bantal. Siling putih aku pandang seperti mahu tembus sebelum mata mula layu.
Tok!
Tok! Ketukan yang kuat di
pintu kayu mengejutkan aku. Bukan aku sahaja Ayun juga sama. Aku pandang Ayun
dan Ayun pandang aku. Pening kepala sekejap kerana bangun secara mengejut.
Manalah tahu aku mimpi.
Sebelah kaki sudah diturunkan ke lantai.
Lambat sungguh pergerakan aku ketika ini. Ayun masih lagi mamai. Kepalanya
kembali dilentukkan di atas bantal. Sedap betul kalau dapat tidur.
Tok! Tok! Sekejap sahaja ketukan kembali
berbunyi. Cepat-cepat aku capai tudung express dan sarung ala kadar. Daun pintu
ditarik dan aku menjengah keluar. Aneh tiada seorang pun di luar. Takkanlah
siang-siang buta macam ni hantu nak buat salam perkenalan.
“Siapa Mira?” suara serak aku menyapa
gegendang telinga aku.
Aku menoleh untuk melihat Ayun. Dia
sudah duduk bersimpuh dengan wajah sembap.
“Tak tahu. Tak ada orang,” kata aku.
Pintu masih belum ditutup. Namun
tiba-tiba sahaja pintu ditolak dari luar. Automatik aku mengundur.
Seorang gadis bertudung labuh sedang
tersengih di depan pintu. Kecil molek orangnya. Aku pandang dari atas ke bawah.
Beg dia sedang tersusun elok di sisi kanan dan kirinya. Tahulah aku bahawa dia
tu penghuni baru bilik ini. Tapi....sikitnya barang dia. Lebih sikit daripada
aku dan Ayun.
“Assalamualaikum. Maaf, saya nak masuk
boleh?”
“Waalaikummussalam. Masuklah.”
Gadis itu terus masuk dan meletakkan dua
beg yang dibawanya.
“Siapa nama?” Ayun menyoal mesra. Rambut
pendek ala-ala boyish itu dibetulkan walaupun perbezaannya seperti tidak
kelihatan. Ahaks!
“Sumayyah. Boleh panggil Maya je. Siapa
nama? ”
“Mira. Zamira,”
“Ayun. Khairun Syafiqah,”
“Asal mana?” aku pula menyoal. Mak pesan
kena ramah bila duduk kat tempat orang.
“Kelantan, Kota Bharu,”
“Oh, kitorang berdua dari Johor. Tapi
lain-lain tempat. Mira kat Kota Tinggi, aku kat Segamat.” kata Ayun bersemangat
dengan tiba-tiba.
“Datang sorang je ke?” aku menyoal lagi.
“Tak lah, dengan ayah naik teksi.”
Tok! Tok! Tiba-tiba sahaja pintu yang
suku terbuka itu diketuk lagi. Kali ini Maya yang laju bergerak. Aku sudah
duduk bersila di atas katil. Ayun pula masih statik di tempatnya.
“Masuklah ayah,” Maya berkata dengan loghat
Kelantannya. Aku membulatkan mata. Tidak sempat untuk menyarungkan tudung di
atas kepala apabila seorang lelaki yang sudah berumur masuk ke kawasan kecil
kami. Ayun yang berada di sebelah sana aku tidak tahu apa yang terjadi. Apabila
pintu ditutup barulah aku tahu rupanya kepala Ayun juga berbogel macam kepala
aku.
“Siapa nama?” ayah Maya menyoal. Lelaki
yang berumur itu masih berdiri memerhatikan anak gadisnya mengeluarkan barang
dari luggage.
“Mira.”
“Ayun,”
“Dah tahun berapa?” ayah Maya menyoal
lagi. Aku dan Ayun saling berpandangan. Muka kami ni ada macam rupa senior ke?
“Eh, tak lah. Kami pun baru masuk sama
macam Maya,” jawab Ayun pantas. Aku tersengih sendiri. Begitu juga dengan Maya.
“Pak cik ni mari naik bas pagi tadi. Nanti
nak naik bas lagi. Anak nak belajar kan?” kata ayah Maya menceritakan
perjalanan mereka dua beranak dari Kelantan ke Terengganu. Lama juga kami
berbual mesra sebelum ayah Maya meminta diri untuk pulang ke negeri yang
terkenal dengan kisah cik Siti Wan Kembang.
“Saya nak hantar ayah sekejap,”
“Naik apa?” Ayun menyoal.
“Naik teksi sampai stesyen bas Dungun,”
kata Maya.
“Pak cik balik dulu ya. Belajar
rajin-rajin.”
“Baik pak cik. Jaga diri pak cik,
hati-hati di jalan,” kata aku dan Ayun sebelum Maya dan ayahnya menghilang dari
pandangan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan